Risiko dan pulangan ialah dua konsep yang saling berkait dalam dunia pelaburan. Secara umumnya, lebih tinggi risiko, lebih tinggilah peluang untuk pelabur menerima keuntungan.
Dalam kamus pelaburan, risiko ialah apabila ada kemungkinan pelabur memperoleh pulangan kurang daripada yang diharapkan atau hilang modal pelaburan.
Setiap instrumen pelaburan mempunyai risiko dan pulangan yang berbeza. Justeru sebelum melabur, antara faktor yang perlu dipertimbangkan ialah adakah anda sanggup kehilangan modal dalam pelaburan berkenaan dan apakah kemungkinan pulangan yang bakal anda peroleh.
Sebagai contoh, jika melabur dalam pasaran saham, anda perlu bersedia untuk kehilangan modal kerana risikonya yang tinggi memandangkan pasaran saham mempunyai volatiliti yang agak tinggi.
Bagaimanapun, pasaran saham juga menjanjikan pulangan yang agak tinggi kerana pelabur berpeluang menerima keuntungan modal jika harga seunit saham meningkat dan mungkin juga menerima dividen sekiranya syarikat mencatat keuntungan.
Sementara itu, risiko melabur dalam unit amanah pula boleh dikatakan sederhana kerana harga seunit tabung unit amanah hanya berubah sekali hari, berbanding pasaran saham yang harga seunit saham boleh berubah sekelip mata sepanjang tempoh urusniaga.
Sama seperti pasaran saham, pelabur unit amanah juga berpeluang memperoleh keuntungan modal jika harga seunit tabung meningkat dan menerusi dividen yang diberikan tabung berkenaan.
Harga seunit atau juga disebut Nilai Aset Bersih (NAB) dan dividen yang diberikan satu-satu tabung pula bergantung kepada prestasi tabung berkenaan yang portfolionya biasanya terdiri daripada saham, bon, tunai dan lain-lain instrumen pelaburan.
Instrumen pelaburan yang boleh dikatakan sangat rendah risikonya pula ialah simpanan tetap berikutan risiko kehilangan modal yang kecil.
Namun begitu pelabur berdepan risiko pulangan yang diterima juga rendah, sehingga lebih rendah berbanding inflasi semasa.
Jika ini berlaku, nilai wang pelabur menjadi semakin kecil dan ini menyebabkan kuasa beli juga menyusut.
Sebagai contoh, burger yang boleh dibeli pada harga RM4.00 hari ini, mungkin meningkat kepada RM8.00 pada masa depan.
Jika wang tidak berkembang sama atau lebih pantas pantas berbanding kadar inflasi, ia sama seperti pelabur mencatat kerugian. Ini kerana mereka hanya mampu membeli separuh daripada burger berkenaan pada masa depan.
Comments
Post a Comment